21 April 2012 | 10:17 PTG | 0 comments
Perlahan-lahan tangan diturunkan. Kaki juga dibetulkan silaan. Sejadah di bawah silaan dibetulkan kedudukan. Tangan kembali mengambil utas tasbih yang ditinggalkan atas Kitab Tuhan. Zikir Fatimah dibacakan dalam sendu tangisan. Berusaha untuk kembali menguatkan hati yang seperti tumbang atas kehilangan.
Si dia. Benar, tinggi nilainya si dia untuk aku. Besar wataknya untuk diriku. Tinggi nilainya padaku. Itulah dia, dia yang aku benar-benar mahu. Si dia yang benar-benar aku rindu.
Kehilangan si dia mula-mula seperti tiada rasa. Rasa biasa. Rasa yang ada di mana-mana. Setelah lama si dia tiada, baru kini aku perasaan perginya. Rasa air mata sudah tidak biasa mengalir takutkan Tuhannya. Rasa semakin banyak dosa yang dibuat walau tahu akibatnya. Rasa seperti sudah jauh jaraknya antara aku dengan Yang Maha Esa.
Sudah pelbagai cara diikhtiarkan. Sudah pelbagai bahan ilmu dibacakan. Sudah didengar alunan ayat-ayat kebesaran. Sampai seperti mana semasa si dia itu tiada, air jernih itu sudah berhenti membasahi mata. Dan kini sehingga air jernih itu kembali membasahi. Si dia tetap juga tidak mahu kembali. Apa khilafku kali ini?
Kini si dia telah selamat kembali.
Bibir kembali mengukir senyuman. Air jernih yang mengalir juga sudah dikeringkan. Nafas ditarik dan dilepaskan perlahan. Tangan kembali letaknya pada hati yang degupnya kembali seperti kebiasaan. Mata diturunkan penglihatan.
Dengan kepayahan bibir berbicara pada si dia yang kini sudah kembali,
"Iman, apa khabar kamu hari ini? Janji ya bahawa kamu tidak akan lari dariku lagi."
Dan ya, si dia itu iman. Iman yang dikurnia Ilahi untuk hati :)